Wednesday, August 27, 2014

Klik Dengan Bijak elak penyalahgunaan Internet

ARKIB : 04/08/2014


Klik Dengan Bijak elak penyalahgunaan Internet


Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperluas kempen dan program kesedaran mengenai penggunaan Internet dengan bijak kepada pelajar sekolah dalam lingkungan usia 11 hingga 18 tahun.

Pengarah Kanan Bahagian Jangkauan dan Penglibatan SKMM, Eneng Faridah Iskandar berkata, golongan tersebut menjadi kumpulan sasaran pihaknya dalam penganjuran aktiviti dan kempen kesedaran di bawah program `Klik Dengan Bijak' pada tahun ini kerana kajian yang dijalankan mendapati golongan kanak-kanak ini tidak mempunyai atau kurang pengetahuan pengenai isu penyalahgunaan Internet seperti penipuan phishing, malware, kecurian kata laluan atau identiti, buli siber atau kesalahan jenayah Internet lain.

"SKMM juga mensasarkan kempen kesedaran dan program `Klik Dengan Bijak' ini kepada ibu bapa kerana mereka menjadi kumpulan yang paling dekat dengan kanak-kanak dalam memantau perkembangan penggunaan Internet sama ada di rumah atau di tempat awam,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Cyberjaya baru-baru ini.
Program 'Klik Dengan Bijak' merupakan salah satu inisiatif SKMM untuk mendidik masyarakat mengenai penggunaan Internet secara positif yang diperkenalkan di peringkat kebangsaan pada Julai 2012 di Pulau Pinang.

Pengenalan program ini berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara, selari dengan Kempen Budi Bahasa dan nilai-nilai murni di samping menekankan matlamat mengutamakan aspek keselamatan pengguna kanak-kanak agar menggunakan Internet dengan cara yang selamat.
Menurut Eneng Faridah, selain aspek keselamatan, pihaknya mahu golongan ini sentiasa berwaspada terutama ketika berinteraksi di dalam talian dan bertanggungjawab iaitu memastikan penggunaan kandungan berangkai secara positif dalam kalangan masyarakat.

"Antara penekanan yang diutamakan dalam kempen ini adalah mengenai isu-isu utama seperti ketagihan Internet, buli siber, risiko dalam talian dan kesahihan maklumat.

"Kita mahu golongan kanak-kanak ini sedar mengenai apa yang tidak betul atau salah yang mungkin secara sengaja atau tidak yang pernah mereka lakukan semasa menggunakan Internet.

"Dalam kempen ini, kita tekankan kepada apa yang tidak betul atau salah, apakah kesan atau akibat yang mungkin berlaku dalam penggunaan Internet," jelasnya.

Untuk ibu bapa, ujarnya, disediakan platform untuk memudahkan mereka mendapatkan bantuan, maklumat berkaitan jenayah atau nasihat berkaitan penyalahgunaan Internet.

"Ibu bapa sewajarnya berupaya mengenal pasti sama ada anak-anak terlibat dengan kesalahan penyalahgunaan Internet dan perlu menggunakan saluran maklumat atau bantuan yang sesuai bagi menangani permasalahan yang timbul," katanya.

Pada masa yang sama, beliau menasihatkan golongan ibu bapa dan guru agar lebih berpengetahuan atau celik teknologi maklumat dalam membendung gejala penyalahgunaan Internet daripada terus berleluasa.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140804/pe_02/Klik-Dengan-Bijak-elak-penyalahgunaan-Internet#ixzz3BkJLaazQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment