Thursday, August 28, 2014

Daki gunung motivasi pelajar


Para guru berupaya mewujudkan satu sudut pandangan hidup dengan cara tersendiri yang mampu dipegang oleh pelajar mereka.

Golongan pendidik ini bukan sahaja perlu membuka ruang fikir baharu untuk minda anak-anak hari ini, malah perlu mencetuskan kaedah dan pengalaman baharu dalam mendidik dan membawa mereka ke mercu kejayaan sekali gus perlu berusaha bersama-sama menggerakkan kreativiti untuk membuka pemikiran baharu yang lebih bebas.

Hari ini, zaman telah jauh berubah. Pe­ranan guru bukan sekadar berkongsi ilmu di bilik darjah, malah mereka juga sebagai fasilitator dan pembim­bing seterusnya menjadi rakan kepada pelajar.
Bagi guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Subang Bestari, Shah Alam, Selangor, mereka mempunyai acuan dan kaedah tersendiri dalam mendidik pelajar untuk mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam pelajaran malah dalam kehidupan.

Jika di sekolah lain, guru-guru menjadikan aktiviti seperti lawatan ke tempat bersejarah, melancong, perkhemahan, atau program motivasi sebagai aktiviti luar bilik darjah, berbeza sekali di SMK Subang Bestari (SUBEST).Mereka memilih aktiviti yang lebih 'ekstrem' iaitu mendaki gunung sebagai aktiviti utama bagi menjalin hubungan lebih erat antara guru dan para pelajar.

Guru yang bertanggungjawab menggalas tanggungjawab tersebut adalah Noraizam Sulaiman, yang menjadi tulang belakang kepada Kelab Kembara SUBEST, khusus dalam aktiviti pendakian.
Di bawah kelolaannya, kelab tersebut telah berjaya menawan puncak-puncak tertinggi di negara ini termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Tahan, Gunung Nuang, Gunung Ledang, Gunung Irau, Gunung Datok, Gunung Angsi, dan terbaharu Gunung Santubong, di Sarawak.
Mendaki gunung dijadikan aktiviti wajib, sehingga dipersetujui bahawa kelab tersebut akan melakukan ekspedisi pendakian sekurang-kurangnya empat kali dalam setahun bersama sekurang-kurangnya 100 pelajar.

“Biasanya saya akan membawa lebih kurang 100 pelajar dalam setiap ekspedisi, kecuali di gunung-gunung tinggi seperti Tahan dan Kinabalu, yang saya kurangkan kepada 50 orang pelajar sahaja.
“Jumlah tersebut memang agak besar dan setiap ekspedisi mempunyai risiko tersendiri, tetapi Alhamdulillah setakat ini tidak berlaku perkara tidak diingini," ujarnya, Noraizam mengakui, beliau berani menanggung risiko kerana mahu memberi pengalaman baharu kepada para pelajarnya. Baginya, setiap pelajar perlu mendapatkan pengalaman lain daripada yang lain bagi membentuk jati diri yang lebih kuat.  Ini kerana katanya, program tersebut bukan sekadar aktiviti pendakian semata-mata, tetapi yang paling utama ialah penekanan semangat berpasukan dan setiakawan, selain penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

“Memang apabila saya beritahu orang saya bawa 100 pelajar untuk melakukan ekspedisi mendaki gunung, sesetengahnya menganggap saya buat kerja gila. Kata-kata tersebut membuatkan saya lebih bersemangat kerana saya mahu memberi pengalaman baharu kepada pelajar walaupun ia sesuatu yang berisiko untuk dihidapi.

Membawa pelajar masuk ke hutan selama empat hari mendaki gunung bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi itulah cabarannya.
“Pengalaman ini akan membezakan mereka dengan pelajar-pelajar lain," tegasnya.
Mendaki motovasi terbaik Menurut Noraizam, mendaki gunung merupakan motivasi terbaik dalam proses pembelajaran supaya para pelajar dapat menghadapi apa juga rintangan yang dihadapi kelak.
Baginya, dalam kehidupan, para guru perlu mengajar pelajar mereka erti kesusahan dan bagaimana menangani cabaran. “Sebagai contoh, untuk mendaki sampai ke puncak sebenarnya sangat susah, daripada awal kena buat persediaan seperti meningkatkan kemahiran, ketahanan fizikal dan peralatan.
“Ramai pelajar berputus asa di tengah-tengah perjalanan, tetapi kami sebagai guru berusaha sehabis daya membantu mereka dengan menguatkan semangat sehingga akhirnya mereka sampai juga ke puncak. Apabila sampai ke puncak, mereka menjerit kegembiraan kerana tidak sangka sehingga ke tahap itu mereka mampu mendorong diri agar tidak berputus asa.Semua pengalaman itu boleh menjadi pengajaran kepada mereka ketika menjalani kehidupan harian," jelasnya.

Bimbingan untuk pelajar bermasalah

Beliau yang juga Ketua Guru Disiplin di sekolah tersebut, turut menggunakan pendekatan aktiviti pendakian gunung sebagai salah satu program bagi membimbing pelajar-pelajar bermasalah.
“Dalam menangani masalah disiplin sebenarnya kalau saya hendak rotan, sebat dan marah hari-hari pun sudah tidak nampak kesannya kerana pelajar-pelajar sekarang mudah memberontak.
“Oleh yang demikian, saya cuba kaedah lain yang lebih santai seperti mengadakan misi mendaki gunung, ekspedisi masuk hutan atau perkhemahan untuk saya dan guru-guru lain menghabiskan masa bersama mereka sambil bertanyakan masalah yang dialami," ujarnya.
Sehingga kini katanya, pihak sekolah berjaya memulihkan pelajar-pelajar bermasalah melalui aktiviti pendakian. Kami tahu, apabila mereka ada aktiviti yang boleh dibuat, mereka tidak akan lagi mencari masalah di luar, malah begitu gembira untuk mengikuti lagi ekspedisi-ekspedisi yang dijalankan oleh pihak sekolah," ujarnya.

Noraizam tidak menafikan, jarang ada guru-guru yang sanggup menghabiskan masa dengan pelajar dalam tempoh yang lama, dari malam sehingga ke pagi menemani mereka melakukan pelbagai aktiviti bersama.Sedangkan kaedah itu katanya, secara tidak langsung akan membuatkan pelajar-pelajar berasakan guru mereka boleh memberi perhatian dan kasih sayang kepada mereka.
“Kami dekati pelajar dengan cara sebegini dan Alhamdulillah kami nampak perubahan positif yang berlaku selepas aktiviti mendaki gunung bersama pelajar ini diadakan," katanya. - NURSYAMIMI SAIDI

Sumber; Utusan Malaysia

  

No comments:

Post a Comment