Monday, August 25, 2014

Bantuan persekolahan rangsang kecemerlangan

Bantuan persekolahan rangsang kecemerlangan
31 Jan 2013, 10:18 AM | Berita Semasa

BANTUAN Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap murid sekolah sedang diagihkan di seluruh negara bukan sahaja dapat membantu meringankan beban ibu bapa malah berupaya memberi suntikan semangat untuk pelajar mencipta kejayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC-iTWeb, Datuk Dr. Noel Robert berkata, melalui usaha kerajaan menyediakan bantuan tersebut telah membuktikan bahawa kerajaan  amat prihatin atas kebajikan serta keperluan pendidikan rakyat.

``Usaha ini juga dianggap rangsangan kepada setiap  pelajar untuk terus cemerlang bila menerima  bantuan malah  menunjukkan sikap kasih sayang pemimpin kepada rakyat,'' katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar mengutamakan pendidikan anak-anak bagi memastikan kehidupan lebih baik pada masa depan.

Dr. Noel berkata demikian ketika berucap dalam majlis mengagihkan bantuan RM100 kepada 188 pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)  Perempuan (P) Pudu di sekolah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.Yang turut hadir dalam majlis itu ialah pengetua sekolah berkenaan, Ng Siew Keng.

Majlis itu merupakan fasa pertama penyerahan bantuan kepada sebahagian daripada 1,084 jumlah keseluruhan pelajar sekolah berkenaan yang akan menerima wang bantuan masing-masing secara berperingkat nanti.

Semua pelajar yang menerima bantuan tersebut kelihatan ceria dan gembira malah sebahagian daripada mereka mengambil kesempatan dengan kehadiran ibu bapa bagi membeli peralatan belajar yang masih belum mencukupi di koperasi sekolah itu.Bagi Juliana Ramli, 13, dia mahu menggunakan wang bantuan bagi membeli keperluan persekolahannya yang ada antaranya yang telah rosak.

``Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan yang telah memberikan wang RM100 bagi membantu mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa.

``Duit ini akan saya gunakan untuk membeli peralatan sekolah yang masih tidak cukup dan kemudahan yang benar-benar penting sahaja,'' katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di dewan sekolah tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seoarang lagi penerima, K. Mulummathi, 13, memberitahu, dia akan menggunakan sebahagian wang bantuan tersebut untuk membeli beberapa buah buku latihan dan berhasrat untuk menyimpan bakinya.

Dia menambah, ibu bapanya kini tidak perlu bimbang lagi tentang perbelanjaan sekolah empat anak mereka kerana sebahagian besarnya telah ditanggung oleh kerajaan.Bapanya, P. Kundlan, 46, berkata, bantuan yang diberikan kerajaan itu membantu dia menampung keperluan pendidikan anak-anaknya yang memerlukan perbelanjaan agak besar setiap tahun.

Sumber: Portal Pendidikan Utusan

No comments:

Post a Comment