Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.
Makluman untuk semua warga sekolah dan ibubapa bahawa pada tarikh 1 September 2014 (Isnin) adalah cuti sekolah. Murid murid tidah perlu hadir ke sekolah pada tarikh tersebut. Murid murid akan mula bersekolah semula pada keesokan harinya iaitu 2 September 2014 (Selasa).
Sekian terima kasih
tab
Search This Blog
Friday, August 29, 2014
Thursday, August 28, 2014
Daki gunung motivasi pelajar
Para guru berupaya mewujudkan satu sudut pandangan hidup dengan cara tersendiri yang mampu dipegang oleh pelajar mereka.
Golongan pendidik ini bukan sahaja perlu membuka ruang fikir baharu untuk minda anak-anak hari ini, malah perlu mencetuskan kaedah dan pengalaman baharu dalam mendidik dan membawa mereka ke mercu kejayaan sekali gus perlu berusaha bersama-sama menggerakkan kreativiti untuk membuka pemikiran baharu yang lebih bebas.
Hari ini, zaman telah jauh berubah. Peranan guru bukan sekadar berkongsi ilmu di bilik darjah, malah mereka juga sebagai fasilitator dan pembimbing seterusnya menjadi rakan kepada pelajar.
Bagi guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Subang Bestari, Shah Alam, Selangor, mereka mempunyai acuan dan kaedah tersendiri dalam mendidik pelajar untuk mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam pelajaran malah dalam kehidupan.
Jika di sekolah lain, guru-guru menjadikan aktiviti seperti lawatan ke tempat bersejarah, melancong, perkhemahan, atau program motivasi sebagai aktiviti luar bilik darjah, berbeza sekali di SMK Subang Bestari (SUBEST).Mereka memilih aktiviti yang lebih 'ekstrem' iaitu mendaki gunung sebagai aktiviti utama bagi menjalin hubungan lebih erat antara guru dan para pelajar.
Guru yang bertanggungjawab menggalas tanggungjawab tersebut adalah Noraizam Sulaiman, yang menjadi tulang belakang kepada Kelab Kembara SUBEST, khusus dalam aktiviti pendakian.
Di bawah kelolaannya, kelab tersebut telah berjaya menawan puncak-puncak tertinggi di negara ini termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Tahan, Gunung Nuang, Gunung Ledang, Gunung Irau, Gunung Datok, Gunung Angsi, dan terbaharu Gunung Santubong, di Sarawak.
Mendaki gunung dijadikan aktiviti wajib, sehingga dipersetujui bahawa kelab tersebut akan melakukan ekspedisi pendakian sekurang-kurangnya empat kali dalam setahun bersama sekurang-kurangnya 100 pelajar.
Biasanya saya akan membawa lebih kurang 100 pelajar dalam setiap ekspedisi, kecuali di gunung-gunung tinggi seperti Tahan dan Kinabalu, yang saya kurangkan kepada 50 orang pelajar sahaja.
Jumlah tersebut memang agak besar dan setiap ekspedisi mempunyai risiko tersendiri, tetapi Alhamdulillah setakat ini tidak berlaku perkara tidak diingini," ujarnya, Noraizam mengakui, beliau berani menanggung risiko kerana mahu memberi pengalaman baharu kepada para pelajarnya. Baginya, setiap pelajar perlu mendapatkan pengalaman lain daripada yang lain bagi membentuk jati diri yang lebih kuat. Ini kerana katanya, program tersebut bukan sekadar aktiviti pendakian semata-mata, tetapi yang paling utama ialah penekanan semangat berpasukan dan setiakawan, selain penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Memang apabila saya beritahu orang saya bawa 100 pelajar untuk melakukan ekspedisi mendaki gunung, sesetengahnya menganggap saya buat kerja gila. Kata-kata tersebut membuatkan saya lebih bersemangat kerana saya mahu memberi pengalaman baharu kepada pelajar walaupun ia sesuatu yang berisiko untuk dihidapi.
Membawa pelajar masuk ke hutan selama empat hari mendaki gunung bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi itulah cabarannya.
Pengalaman ini akan membezakan mereka dengan pelajar-pelajar lain," tegasnya.
Mendaki motovasi terbaik Menurut Noraizam, mendaki gunung merupakan motivasi terbaik dalam proses pembelajaran supaya para pelajar dapat menghadapi apa juga rintangan yang dihadapi kelak.
Baginya, dalam kehidupan, para guru perlu mengajar pelajar mereka erti kesusahan dan bagaimana menangani cabaran. Sebagai contoh, untuk mendaki sampai ke puncak sebenarnya sangat susah, daripada awal kena buat persediaan seperti meningkatkan kemahiran, ketahanan fizikal dan peralatan.
Ramai pelajar berputus asa di tengah-tengah perjalanan, tetapi kami sebagai guru berusaha sehabis daya membantu mereka dengan menguatkan semangat sehingga akhirnya mereka sampai juga ke puncak. Apabila sampai ke puncak, mereka menjerit kegembiraan kerana tidak sangka sehingga ke tahap itu mereka mampu mendorong diri agar tidak berputus asa.Semua pengalaman itu boleh menjadi pengajaran kepada mereka ketika menjalani kehidupan harian," jelasnya.
Bimbingan untuk pelajar bermasalah
Beliau yang juga Ketua Guru Disiplin di sekolah tersebut, turut menggunakan pendekatan aktiviti pendakian gunung sebagai salah satu program bagi membimbing pelajar-pelajar bermasalah.
Dalam menangani masalah disiplin sebenarnya kalau saya hendak rotan, sebat dan marah hari-hari pun sudah tidak nampak kesannya kerana pelajar-pelajar sekarang mudah memberontak.
Oleh yang demikian, saya cuba kaedah lain yang lebih santai seperti mengadakan misi mendaki gunung, ekspedisi masuk hutan atau perkhemahan untuk saya dan guru-guru lain menghabiskan masa bersama mereka sambil bertanyakan masalah yang dialami," ujarnya.
Sehingga kini katanya, pihak sekolah berjaya memulihkan pelajar-pelajar bermasalah melalui aktiviti pendakian. Kami tahu, apabila mereka ada aktiviti yang boleh dibuat, mereka tidak akan lagi mencari masalah di luar, malah begitu gembira untuk mengikuti lagi ekspedisi-ekspedisi yang dijalankan oleh pihak sekolah," ujarnya.
Noraizam tidak menafikan, jarang ada guru-guru yang sanggup menghabiskan masa dengan pelajar dalam tempoh yang lama, dari malam sehingga ke pagi menemani mereka melakukan pelbagai aktiviti bersama.Sedangkan kaedah itu katanya, secara tidak langsung akan membuatkan pelajar-pelajar berasakan guru mereka boleh memberi perhatian dan kasih sayang kepada mereka.
Kami dekati pelajar dengan cara sebegini dan Alhamdulillah kami nampak perubahan positif yang berlaku selepas aktiviti mendaki gunung bersama pelajar ini diadakan," katanya. - NURSYAMIMI SAIDI
Sumber; Utusan Malaysia
Wednesday, August 27, 2014
Klik Dengan Bijak elak penyalahgunaan Internet
ARKIB : 04/08/2014
Klik Dengan Bijak elak penyalahgunaan Internet
Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperluas kempen dan program kesedaran mengenai penggunaan Internet dengan bijak kepada pelajar sekolah dalam lingkungan usia 11 hingga 18 tahun.
Pengarah Kanan Bahagian Jangkauan dan Penglibatan SKMM, Eneng Faridah Iskandar berkata, golongan tersebut menjadi kumpulan sasaran pihaknya dalam penganjuran aktiviti dan kempen kesedaran di bawah program `Klik Dengan Bijak' pada tahun ini kerana kajian yang dijalankan mendapati golongan kanak-kanak ini tidak mempunyai atau kurang pengetahuan pengenai isu penyalahgunaan Internet seperti penipuan phishing, malware, kecurian kata laluan atau identiti, buli siber atau kesalahan jenayah Internet lain.
"SKMM juga mensasarkan kempen kesedaran dan program `Klik Dengan Bijak' ini kepada ibu bapa kerana mereka menjadi kumpulan yang paling dekat dengan kanak-kanak dalam memantau perkembangan penggunaan Internet sama ada di rumah atau di tempat awam,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Cyberjaya baru-baru ini.
Program 'Klik Dengan Bijak' merupakan salah satu inisiatif SKMM untuk mendidik masyarakat mengenai penggunaan Internet secara positif yang diperkenalkan di peringkat kebangsaan pada Julai 2012 di Pulau Pinang.
Pengenalan program ini berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara, selari dengan Kempen Budi Bahasa dan nilai-nilai murni di samping menekankan matlamat mengutamakan aspek keselamatan pengguna kanak-kanak agar menggunakan Internet dengan cara yang selamat.
Menurut Eneng Faridah, selain aspek keselamatan, pihaknya mahu golongan ini sentiasa berwaspada terutama ketika berinteraksi di dalam talian dan bertanggungjawab iaitu memastikan penggunaan kandungan berangkai secara positif dalam kalangan masyarakat.
"Antara penekanan yang diutamakan dalam kempen ini adalah mengenai isu-isu utama seperti ketagihan Internet, buli siber, risiko dalam talian dan kesahihan maklumat.
"Kita mahu golongan kanak-kanak ini sedar mengenai apa yang tidak betul atau salah yang mungkin secara sengaja atau tidak yang pernah mereka lakukan semasa menggunakan Internet.
"Dalam kempen ini, kita tekankan kepada apa yang tidak betul atau salah, apakah kesan atau akibat yang mungkin berlaku dalam penggunaan Internet," jelasnya.
Untuk ibu bapa, ujarnya, disediakan platform untuk memudahkan mereka mendapatkan bantuan, maklumat berkaitan jenayah atau nasihat berkaitan penyalahgunaan Internet.
"Ibu bapa sewajarnya berupaya mengenal pasti sama ada anak-anak terlibat dengan kesalahan penyalahgunaan Internet dan perlu menggunakan saluran maklumat atau bantuan yang sesuai bagi menangani permasalahan yang timbul," katanya.
Pada masa yang sama, beliau menasihatkan golongan ibu bapa dan guru agar lebih berpengetahuan atau celik teknologi maklumat dalam membendung gejala penyalahgunaan Internet daripada terus berleluasa.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140804/pe_02/Klik-Dengan-Bijak-elak-penyalahgunaan-Internet#ixzz3BkJLaazQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tuesday, August 26, 2014
HOTS tingkat profesionalisme guru
HOTS tingkat profesionalisme guru
14 Jan 2013, 03:44 PM | Berita Semasa |
KEMAHIRAN berfikir aras tinggi (HOTS) mampu memantapkan kemahiran guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), kata Dr. Ismail Zain. Menurut motivator dan pakar dalam pendidikan itu, HOTS merupakan aspek yang penting terutamanya dalam bidang pendidikan dan guru perlu bijak menyusun strategi untuk mewujudkan amalan terbaik pengaplikasian HOTS dalam P&P. "Hal ini penting untuk menghasilkan impak positif kepada murid-murid," katanya ketika mengendalikan bengkel memantapkan kemahiran guru-guru mengaplikasikan HOTS dalam proses P&P di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh, Perak baru-baru ini. Bengkel yang menjelaskan dengan mudah konsep HOTS serta strategi melaksanakannya dalam P&P itu dihadiri 66 peserta sebagai pengisian Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP). Pengetua SMK Gunung Rapat, Rahimah Mohamed berkata, pihaknya sentiasa berusaha memantapkan dan membuat penambahbaikan proses P&P demi menyahut cabaran pendidikan Abad ke-21 serta anjakan yang terdapat dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. "Walaupun sekolah ini ialah sekolah elit sukan tetapi prestasi akademik murid-murid adalah cemerlang dan amat membanggakan justeru saya harap guru betul-betul berkualiti dalam P&P," jelas pengetua Sekolah Kluster Cemerlang ini. Sementara itu, Guru Penolong Kanan 1 sekolah itu, Noor Kamar Nordi berkata, HOTS harus diikuti oleh semua guru sebagai penyegaran (refreshment) terhadap apa yang sedang mereka laksanakan dalam P&P. Pendapat ini disokong Guru Penolong kanan Kokurikulum, Noor Alauyah Meoir Ahmad yang mengatakan bahawa HOTS merupakan satu bentuk reformasi dalam P&P. Bagi guru Bahasa Inggeris, Wan Shaiful Akmar Mohd Idris, HOTS mampu menyelesaikan masalah pembelajaran subjek teras itu. “Melalui bengkel ini saya dapat melihat bagaimana HOTS dapat diaplikasikan dalam P&P untuk menjadikan murid lebih tercabar mindanya,” tuturnya. Seorang lagi guru, Sufian Ishak memberitahu, HOTS bukan sahaja sesuai untuk akademik malah boleh diaplikasikan dalam sukan. "HOTS mampu membantu murid-murid menjadi thinking player ke arah meningkatkan mutu sukan," kata Guru Kanan Pengurusan Sukan ini. Dalam pada itu, Program Motivasi Utusan akan bergerak membantu guru dan murid melonjakkan motivasi diri, menjana pemikiran yang kritis dan kreatif ke arah kecemerlangan diri mengikut modul yang dirancang bersesuaian dengan guru atau murid secara berasingan. Akan datang, program seperti ini akan diadakan di SMK Sayong di Kuala Kangsar dan beberapa sekolah lain anjuran Biro Pendidikan UMNO Kampar. Pihak sekolah atau agensi yang berminat untuk menganjurkan bengkel ini, sila hubungi 019-5713745 atau layari www.adap.com.my. ![]() DR.Ismail Zain (tengah) bersama peserta bengkel memantapkan kemahiran guru-guru mengaplikasikan HOTS dalam proses P&P di SMK Gunung Rapat, Ipoh, Perak, baru-baru ini. sumber: Portal Pendidikan Utusan |
10 perkara perlu jadi keutamaan
ARKIB : 09/08/2014
10 perkara perlu jadi keutamaan
Oleh LILIS SURIANI OMAR
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Seiring dengan inisiatif kerajaan memacu tahap pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi, Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad menyarankan Kementerian Pendidikan melaksanakan 10 perkara yang perlu diberi keutamaan.
Katanya, langkah itu perlu bagi menggerakkan semua tahap pendidikan termasuk prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi, berdasarkan pelan pendidikan yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan secara berperingkat.
"10 perkara itu saya mahu bincangkan di peringkat universiti terlebih dahulu termasuk peringkat kolej daripada segi penambahbaikan dan matlamat negara. Saya melihat pendidikan suatu pelaburan untuk menentukan apa hasil dan juga pulangan pada penghujungnya.
"Kajian mendalam akan dijalankan bagi mengenal pasti apa yang perlu ditekan dan diutamakan," katanya di sini baru-baru ini.
Abdul Rahman yang menerima watikah pelantikannya bagi sesi 2014 hingga 2016 daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga hari lalu akan dibantu timbalannya yang juga merupakan Penasihat Sains Perdana Menteri, Tan Sri Prof. Dr. Zakri Abdul Hamid sepanjang tempoh tersebut.
Beliau yang juga merupakan Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Sedaya (UCSI) berkata, isu kesamarataan antara kawasan bandar dan luar bandar juga mesti diberi tumpuan kerana perhatian tidak hanya perlu diberikan kepada sekolah-sekolah yang cemerlang tetapi peluang pendidikan harus diberikan kepada semua golongan tanpa mengira kedudukan geografi.
"Kita ketengahkan lima sasaran iaitu memberi peluang pendidikan yang sempurna, meningkatkan mutu pendidikan, mencapai ekuiti dan kesamarataan, mengekalkan perpaduan dalam pendidikan serta penyertaan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak mereka.
"Kesamarataan untuk semua agak susah tetapi kita perlu menetapkan satu tahap bagi menanda aras di tengah-tengah dan dari semasa ke semasa menaikkan standard tersebut. Jika masih tidak mencapai tahap yang diinginkan, di situlah kita perlu beri tumpuan khusus," katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan aspek kemenjadian murid melalui daya pemikiran kreatif dan inovatif selain mengetengahkan persediaan melatih golongan muda yang berjiwa pemimpin menerusi pendidikan di peringkat bawah.
"Ilmu pengetahuan dan kuasa fikir amat penting untuk memupuk sikap berani meluahkan pandangan dan bercakap. Kita kena ubah pendekatan sebelum ini dan mengamalkan kaedah guru mendengar, murid bercakap.
"Ini bermakna, kalau guru minta murid bercakap, mereka harus tahu dan faham sesuatu perkara itu melalui pembacaan, oleh itu secara tidak langsung kita akan menggalakkan murid berfikir, meluahkan pandangan dan bercakap," katanya.
Menurutnya, sebarang usaha yang diketengahkan tidak mungkin dapat dicapai tanpa guru berdedikasi yang juga menjadi komponen dalam pimpinan sekolah.
"Saya menghargai kesalahan dalam pembelajaran kerana jika guru tidak memperbetulkan kesalahan murid, mereka tidak akan tahu yang mereka tidak betul. Ini berbalik kepada aspek inovatif tadi," ujarnya.
Tambah Abdul Rahman, sektor pendidikan turut mempunyai peranan dalam membangunkan negara, justeru persediaan dari bawah perlu kukuh bagi mencapai sasaran ke arah melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global.
"Selaku badan penasihat kepada kementerian, saya percaya ketika ini sudah ada perancangan-perancangan dijalankan yang digariskan dalam pelan pembangunan pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, dan kami akan bertindak sebagai pihak luar yang akan menilai dan memikirkan langkah-langkah terbaik perlu dibuat melalui perbincangan bersama.
"Jadi kita harus kaji apa caranya. Jika kita bercakap soal pendidikan bertaraf dunia, saya bersetuju tetapi kita juga perlu menetapkan standard Malaysia. Untuk mencapai pengiktirafan dunia, kita harus capai piawaian nasional," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau optimis tahap pendidikan negara akan dapat ditingkatkan melalui jalinan antara MPPK dan Kementerian Pendidikan selaku badan penasihat kepada agensi itu dalam mengemukakan cadangan dan kaedah menambah baik sektor pendidikan.
Katanya, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan kementerian secara berkala untuk membincangkan pembentangan laporan-laporan berkaitan bagi membuka cadangan membaik pulih sistem pendidikan di negara ini.
"Selebihnya kita serahkan kepada kementerian untuk pelaksanaannya berdasarkan nasihat dan pandangan ahli panel," tambah Abdul Rahman.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140809/pe_01/10-perkara-perlu-jadi-keutamaan#ixzz3BkKFzOOC
© Utusan Melayu (M) Bhd
Monday, August 25, 2014
Bantuan persekolahan rangsang kecemerlangan
Bantuan persekolahan rangsang kecemerlangan
31 Jan 2013, 10:18 AM | Berita Semasa |
BANTUAN Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap murid sekolah sedang diagihkan di seluruh negara bukan sahaja dapat membantu meringankan beban ibu bapa malah berupaya memberi suntikan semangat untuk pelajar mencipta kejayaan. Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC-iTWeb, Datuk Dr. Noel Robert berkata, melalui usaha kerajaan menyediakan bantuan tersebut telah membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin atas kebajikan serta keperluan pendidikan rakyat. ``Usaha ini juga dianggap rangsangan kepada setiap pelajar untuk terus cemerlang bila menerima bantuan malah menunjukkan sikap kasih sayang pemimpin kepada rakyat,'' katanya. Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar mengutamakan pendidikan anak-anak bagi memastikan kehidupan lebih baik pada masa depan. Dr. Noel berkata demikian ketika berucap dalam majlis mengagihkan bantuan RM100 kepada 188 pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Pudu di sekolah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.Yang turut hadir dalam majlis itu ialah pengetua sekolah berkenaan, Ng Siew Keng. Majlis itu merupakan fasa pertama penyerahan bantuan kepada sebahagian daripada 1,084 jumlah keseluruhan pelajar sekolah berkenaan yang akan menerima wang bantuan masing-masing secara berperingkat nanti. Semua pelajar yang menerima bantuan tersebut kelihatan ceria dan gembira malah sebahagian daripada mereka mengambil kesempatan dengan kehadiran ibu bapa bagi membeli peralatan belajar yang masih belum mencukupi di koperasi sekolah itu.Bagi Juliana Ramli, 13, dia mahu menggunakan wang bantuan bagi membeli keperluan persekolahannya yang ada antaranya yang telah rosak. ``Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan yang telah memberikan wang RM100 bagi membantu mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa. ``Duit ini akan saya gunakan untuk membeli peralatan sekolah yang masih tidak cukup dan kemudahan yang benar-benar penting sahaja,'' katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di dewan sekolah tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini. Seoarang lagi penerima, K. Mulummathi, 13, memberitahu, dia akan menggunakan sebahagian wang bantuan tersebut untuk membeli beberapa buah buku latihan dan berhasrat untuk menyimpan bakinya. Dia menambah, ibu bapanya kini tidak perlu bimbang lagi tentang perbelanjaan sekolah empat anak mereka kerana sebahagian besarnya telah ditanggung oleh kerajaan.Bapanya, P. Kundlan, 46, berkata, bantuan yang diberikan kerajaan itu membantu dia menampung keperluan pendidikan anak-anaknya yang memerlukan perbelanjaan agak besar setiap tahun. Sumber: Portal Pendidikan Utusan |
Monday, August 18, 2014
JOM BERAMBEH RAYA 2014
MAJLIS JOM BERAMBEH RAYA 2014 SK ASYAKIRIN AKAN DIADAKAN PADA
25 OGOS 2014
ISNIN
7.20 PAGI - 1.10 PETANG
RUANG LEGAR SK ASYAKIRIN
PAKAIAN BAJU MELAYU/ BAJU KURUNG
25 OGOS 2014
ISNIN
7.20 PAGI - 1.10 PETANG
RUANG LEGAR SK ASYAKIRIN
PAKAIAN BAJU MELAYU/ BAJU KURUNG
Subscribe to:
Posts (Atom)